KENYATAAN MEDIA: PERASMIAN BILIK MEDIA TAN SRI ABU KASSIM

KENYATAAN MEDIA
PERASMIAN BILIK MEDIA TAN SRI ABU KASSIM
SEKOLAH MENENGAH SERI AMPANG KUALA LUMPU R
8 Julai 2018

SMK SERI AMPANG, dahulunya dikenali sebagai Sekolah Seri Ampang (1975-1989) dan Ampang Road Boys’ School (1963-1974) adalah sebuah sekolah biasa, dikelilingi oleh penduduk pelbagai etnik yang berpendapatan rendah dari kawasan kampong sekitar Datuk Keramat, Hulu Kelang, Ampang, dan Kg Baru. Kini SMK Seri Ampang sudah mencecah usia 55 tahun dan telah melahirkan beberapa tokoh penting dalam negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara tokoh yang terkenal ialah Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed, mantan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada tahun 2016, Tan Sri Abu Kassim menyatakan hasratnya kepada AROBA (Ampang Road Old Boys’ Association) bagi memberi sumbangan menaiktaraf sebuah bilik darjah untuk dijadikan bilik khusus “study room” yang mempunyai rekabentuk kondusif dan dilengkapi dengan unit hawa dingin. Tujuannya adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar sekolah ini menjalankan aktiviti belajar kendiri dan ulangkaji pelajaran di samping berinteraksi dengan guru dalam kelas tambahan. Tan Sri Abu Kassim telah memberikan sumbangan awal sebanyak RM5000.00 bagi memulakan projek ini. Hasrat in disambut baik oleh AROBA yang berusaha bagi merealisasikan inspirasi Tan Sri Abu Kassim. AROBA telah membantu dengan dana tambahan bagi usaha menaiktaraf bilik darjah ini menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan projek ialah RM14,000.00. Dengan persetujuan bersama antara pihak sekolah dan AROBA, bilik ini diberi nama “Bilik Media Tan Sri Abu Kassim”.

Selain daripada membantu menyiapkan Bilik Media Tan Sri Abu Kassim ini, AROBA bercadang diwujudkan Wall of Fame yang memaparkan foto tokoh-tokoh yang berjaya menempah nama mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang terdiri bekas pelajar dari sekolah ini. Untuk tahap pertama usaha Wall of Fame ini, 26 tokoh telah dikenalpasti termasuk Tan Sri Abu Kassim sendiri. Bilangan foto tokoh bekas pelajar sekolah ini akan ditambah dari masa ke semasa oleh AROBA. Tujuan kewujudan Wall of Fame ini ialah untuk memupuk semangat juang dalam kehidupan pelajar SMK Seri Ampang agar turut berjaya dalam hidup seperti tokoh-tokoh berkenaan dalam bidang masing-masing serta menjadikan Wall of Fame sebagai sumber inspirasi dan motivasi. Tokoh-tokoh ini boleh dijadikan idola pelajar SMK Seri Ampang agar dapat menjelmakan impian kejayaan mereka dalam hidup ini.

Bilik Media Tan Sri Abu Kassim ini akan dimanfaatkan oleh pihak sekolah untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti khusus yang lain. AROBA akan terus membantu menyelanggara dan menaiktaraf bilik ini dari masa ke semasa.

Pada 8 Julai 2018, Bilik Media Tan Sri Abu Kassim ini dirasmikan oleh mantan guru sekolah ini ialah Cikgu Peter Paul Nunis @ Mohd Yunus Nunis bin Abdullah yang telah berkhidmat sebagai guru di sekolah ini dari 1964 hingga 1990. Beliau serta mantan guru-guru sekolah ini pasti berbangga dengan kejayaan bekas pelajar dan sebahagian daripada anak murid mereka telah menjadi tokoh penting dalam negara dan diabadikan dalam Wall of Fame di dalam Bilik Media Tan Sri Abu Kassim. AROBA percaya lebih ramai tokoh penting dalam negara daripada kalangan bekas pelajar sekolah ini akan dipaparkan dalam Bilik Media Tan Sri Abu Kassim.

8 Julai 2018
AROBA KL
aroba.com.my

This entry was posted in PENGUMUMAN. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *