Mesyuarat Agong Tahunan AROBA, telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Menengah Seri Ampang pada 30 Mac 2008. Seramai 93 ahli telah hadir. Bilangan ahli yang hadir tidak jauh beza dengan kehadiran dalam Mesyuarat Agong sebelumnya tetapi kelihatan ramai bekas pelajar yang muncul dan mendaftar sebagai ahli baru AROBA.
Tahniah! Kali ini 38 ahli baru telah mendaftar sebagai ahli AROBA! Manakala di kalangan ahli lama pula, terdapat fenomena on & off di mana ada ahli yang tidak sempat hadir pada yang mesyuarat yang lalu telah hadir kali ini; dan terdapat juga ahli yang pernah hadir pada mesyuarat lalu tidak muncul kali ini. Mungkin masing-masing ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Apapun, AROBA mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang hadir dan menjayakan mesyuarat kali ini. Apa yang menarik kali ini, Ustaz Shariff, Mr. Low, Mr. Peter Nunis (nama Islamnya Mohd Yunus) dan Pengerusi PIBG telah turut hadir. Ustaz Shariff telah diberi penghormatan untuk merasmikan Mesyuarat AROBA 2008. Mr. Low and Mr. Peter Nunis juga diberi peluang untuk berucap; mereka kelihatan ceria , terharu tetapi bersemangat semasa menyampaikan ucapan disulami dengan kisah nostalgia masa lampau. Ketika menikmati jamuan ringan di kantin sekolah, kelihatan senyuman dan gelak ketawa serta keharuan di kalangan ahli yang bertukar berita dan bertanya kabar mengenai diri masing-masing dan rakan-rakan yang lain.
Pertemuan yang mencungkil semula nostalgia lama ini terlalu mahal harganya. Inilah antara ruang yang AROBA sediakan. Akan ada lagi sesi lain yang menemukan rakan-rakan AROBA nanti. Mesyuarat Agong 2008 juga telah memilih Prof. Madya Dr. Supyan Hussin sebagai penerima Anugerah Cemerlang Bekas Pelajar untuk kategori Akademik. Pada tahun 2007, Mesyuarat Agong AROBA telah memberi Anugerah Cemerlang Bekas Pelajar kepada Pak Ngah untuk kategori penggiat seni.