Perlembagaan

FASAL 1: NAMA

1.1 Pertubuhan ini dikenal dengan nama PERSATUAN BEKAS PELAJAR SEKOLAH SERI AMPANG, KUALA LUMPUR DAN SELANGOR selepas ini disebut sebagai “Pertubuhan”.

FASAL 2: TEMPAT URUSAN

2.1 Alamat dan tempat urusan Pertubuhan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Batu 3, Jalan Ampang, 55000 Kuala Lumpur atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa, dan alamat untuk surat menyurat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Batu 3, Jalan Ampang, 55000 Kuala Lumpur.

2.2 Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3: LOGO, WARNA & COGANKATA

logo aroba

3.2 Reka bentuk LOGO yang dihasilkan secara keseluruhannya menvisualkan satu pergerakan dari pelbagai arah yang sering bergabung serta terus bergerak melintasi satu halangan dalam mencapai kecemerlangan yang global.

3.3 Penampilan warna merah mencerminkan keberanian, kegigihan, kematangan, kebanggaan dan aktif serta inovatif dari aspek patriotisme dan perlembagaan.

3.4 Warna kuning mencerminkan kelembutan dan tidak pernah lupa pada adat resam dan kebudayaan bangsa yang berbilang kaum, disiplin, kecemerlangan, dan kemuliaan yang menyentuh aspek-aspek keceriaan serta jati diri.

3.5 Warna biru tua merealisasikan kekukuhan, keharmonian, perpaduan, keutuhan, dinamik dan satu hati menyambut cabaran di era milenium dalam aspek tanggungjawab serta dedikasi.

3.6 Ketiga-tiga warna ini juga melambangkan tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India.

3.7 COGANKATA bagi Pertubuhan ini ialah JUJUR – IKHLAS – BERWAWASAN.

FASAL 4: TUJUAN / MATLAMAT

Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk:

4.1 Mengumpulkan bekas pelajar-pelajar Ampang Road Boys’ School (ARBS), Sekolah Seri Ampang (SSA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang (SMKSA), Kuala Lumpur dan Selangor;

4.2 Mengeratkan silaturrahim dikalangan bekas pelajar-pelajar ARBS, SSA dan SMKSA;

4.3 Mewujudkan tabung kebajikan untuk membantu ahli-ahli;

4.4 Menjalankan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada Pertubuhan, SMK Seri Ampang, bekas pelajar-pelajar dan / atau pelajar-pelajar SMK Seri Ampang dalam bidang promosi sukan, kebudayaan, kebajikan, rekreasi dan sosial;

4.5 Memiliki harta (boleh alih atau tidak boleh alih) untuk mencapai dan / atau merealisasikan tujuan-tujuan diatas; mengutip derma / sumbangan untuk tujuan-tujuan diatas dan / atau tujuan-tujuan lain yang berkaitan dari semasa ke semasa dengan syarat kutipan derma daripada orang awam hendaklah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 5: DERMA DAN SUMBANGAN

5.1 Semua derma atau sumbangan yang di terima oleh Jawatankuasa hendaklah di akui penerimaannya oleh Bendahari Kehormat dengan mengadakan resit rasmi Pertubuhan dengan bernombor siri kepada penderma-penderma / penyumbang-penyumbang dan salinan resit rasmi tersebut hendaklah di tandatangani oleh Yang DiPertua sebelum direkodkan ke dalam buku Daftar Derma / Sumbangan.

5.2 Jawatankuasa berhak untuk menerima, menolak dan / atau menerima dengan syarat derma/sumbangan bagi pihak Pertubuhan melainkan ianya dibenarkan secara bertulis oleh Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat.

5.3 Semua ahli dan pekerja-pekerja Pertubuhan tidak dibenarkan mengutip derma / sumbangan bagi pihak Pertubuhan melainkan ianya dibenarkan secara bertulis oleh Setiausaha Kehormat atau Bendahari Kehormat.

FASAL 6: KEAHLIAN

6.1 Sesiapa yang pernah belajar di Ampang Road Boys School (ARBS), Sekolah Seri Ampang (SSA) dan Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Ampang (SMKSA) dan tidak belajar lagi dimana-mana institusi pengajian tinggi; tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya layak untuk menjadi ahli Pertubuhan ini.

6.2 Tiap-tiap borang permohonan menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat yang dikehendaki mengemukakan permohonan tersebut dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk pertimbangan dan kelulusan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan jika diketahui atau disyaki permohonan tersebut dicurigai latar belakangnya. Pemohon boleh merayu kepada jawatankuasa sekiranya permohonan ditolak. Walau bagaimanapun Jawatankuasa berhak menolak dan keputusan yang dibuat adalah muktamad.

6.3 Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah membayar yuran bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli Pertubuhan ini.

FASAL 7: BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

7.1 Bayaran masuk dan yuran Pertubuhan adalah seperti berikut:

7.1.1 Bayaran Masuk RM 10.00 (Ringgit Malaysia: Sepuluh Sahaja);

7.1.2 Yuran Bulanan RM 2.00 (Ringgit Malaysia: Dua Sahaja);

7.1.3 Yuran Ahli Seumur Hidup adalah RM 500-00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Sahaja).

7.2 Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Kehormat terlebih dahulu dalam tempoh 8 hari dari awal tiap-tiap bulan dan ahli juga dibenarkan membayar jumlah penuh kepada Bendahari Kehormat Yuran bulanan sebanyak 12 bulan berturut-turut.

7.3 Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua (2) bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha Kehormat, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga semua hutangnya yang tertunggak telah dijelaskan.

7.4 Ahli yang membiarkan hutangnya yang tertunggak sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi dua belas (12) bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintah supaya tindakan yang sah diambil terhadap ahli tersebut dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

7.5 Jawatankuasa yang mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang Yuran Bulanan tertunggak melebihi enam (6) kali.

7.6 Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Jawatankuasa di dalan satu Mesyuarat Agung Khas ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang gagal membayar yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan. Maka tindakan yang sama seperti didalam perkara 7.4 dan 7.5 diatas akan dikenakan ke atas mereka.

FASAL 8: PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

8.1 Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli pertubuhan, hendaklah memberi kenyataan bertulis dua (2) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya.

8.2 Mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung keahlian tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungan keahliannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya secara lisan atau bertulis. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung Khas menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

FASAL 9: MESYUARAT AGUNG

9.1 Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi ATAU dua (2) kali ganda jumlah Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung untuk mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

9.2 Jika korum tidak mencukupi sekurang-kurangnya selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda Perlembagaan Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

9.3 Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb. Mac tiap-tiap tahun pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

9.3.1 menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;

9.3.2 menerima laporan Bendahari Kehormat dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

9.3.3 memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tahun yang akan datang; dan

9.3.4 menguruskan perkara-perkara lain yang dibentang di dalam mesyuarat itu.

9.4 Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli selewat-lewatnya Lapan (8) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu (1) agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.

9.5 Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:

9.5.1 bila difikirkan perlu dan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

9.5.2 atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat Pertubuhan.

9.6 Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh permintaan mesyuarat itu.

9.7 Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat kepada semua ahli selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

9.8 Fasal 9.1 dan 9.2 di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah (1/2) jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarik ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

9.9 Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 10: JAWATANKUASA

10.1 Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

10.1.1 Seorang (1) Yang DiPertua;

10.1.2 Seorang (1) Naib Yang DiPertua;

10.1.3 Seorang (1) Setiausaha Kehormat;

10.1.4 Seorang (1) Penolong Setiausaha Kehormat;

10.1.5 Seorang (1) Bendahari Kehormat;

10.1.6 Seorang (1) Penolong Bendahari Kehormat; dan

10.1.7 Sepuluh (10) orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

10.2 Pemegang-pemegang jawatan pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

10.3 Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

10.4 Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

10.5 Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam Tiga (3) bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli Tujuh (7) hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

10.6 Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima.

10.6.1 Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

10.6.2 Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu;

10.6.3 Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

10.6.4 Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

10.7 Ahli Jawatankuasa yang gagal menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

10.8 Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undian terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatn itu maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

10.9 Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Kehormat dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

10.10 Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

FASAL 11: KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

11.1 Yang Dipertua, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Bendahari Kehormat dan / atau Setiausaha Kehormat.

11.2 Naib Yang Dipertua hendaklah memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadannya dan dalam tempoh masa tersebut Naib Yang Dipertua dianggap seperti yang Dipertua dan segala hak kuasa adalah sama.

11.3 Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut Perlembagaan dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari Kehormat. Setiausaha Kehormat hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1), Akta Pertubuhan, 1966.

11.4 Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Kehormat.

11.5 Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan / atau Setiausaha Keshormat.

11.6 Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari Kehormat.

11.7 Ahli Jawatankuasa biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehya.

FASAL 12: BUKU DAFTAR

12.1 Jawatankuasa Pertubuhan hendaklah sentiasa menyedia dan menyimpan dan mengemaskini buku-buku daftar seperti berikut:-

12.1.1 buku Minit-minit Mesyuarat;

12.1.2 buku Daftar Keahlian;

12.1.3 buku Daftar Harta (boleh alih dan tidak boleh alih);

12.1.4 buku Daftar Pemiutang;

12.1.5 buku Daftar Derma / Sumbangan;

12.1.6 buku Daftar Pelawat;

12.1.7 buku Tunai, Ledger, Jurnal dan apa-apa buku yang berkaitan menyimpan rekod-rekod perakaunan dan transaksi kewangan Pertubuhan.

FASAL 13: KEWANGAN

13.1 Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam Perlembagaan ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, pembiayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

13.2 Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 300-00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

13.3 Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua, Bendahari Kehormat dan Setiausaha Kehormat.

13.4 Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000-00 (Ringgit Malaysia: Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5,000-00 (Ringgit Malaysia: Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat.

13.5 Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 14 Perlembagaan ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

13.6 Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb. Januari dan berakhir pada 31hb. Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 14: PEMERIKSA KIRA-KIRA

14.1 Dua orang yang bukannya ahli Jawatankuasa atau mana-mana pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan tersebut selama satu (1) tahun dan boleh dilantik semula.

14.2 Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 15: PEMEGANG AMANAH

15.1 Tiga (3) orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust).

15.2 Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaa pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

15.3 Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung di atas sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

FASAL 16: TAFSIRAN PERLEMBAGAAN

16.1 Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini.

16.2 Kecuali perkara-perkara yang bertentangn atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

FASAL 17: PENASIHAT / PENAUNG

17.1 Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis dan jumlah perlantikan Penasihat pada satu-satu masa tidak melebihi tiga (3) orang dan tempoh perlantikan Penasihat adalah untuk dua (2) tahun sahaja.

FASAL 18: LARANGAN

18.1 Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;

18.2 Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

18.3 Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

18.4 “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan 1966, tidak boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

FASAL 19: PINDAAN PERLEMBAGAAN

19.1 Perlembagaan ini atau sebahagian daripadanya tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 20: UNDANG-UNDANG KECIL / PERATURAN

20.1 Jawatankuasa mempunyai kuasa untuk mengolah dan membuat undang-undang kecil yang dipanggil PERATURAN untuk memperkuat dan memantapkan pentadbiran, pengelolaan dan pengurusan Pertubuhan. Peraturan-peraturan tersebut hendaklah ditampal di atas papan notis Pertubuhan selama tidak kurang dari Lima Belas (15) hari dari tarikh ianya diluluskan oleh Jawatankuasa.

20.2 Peraturan-Peraturan tersebut akan mengikat dan mempunyai efek ke atas setiap ahli Pertubuhan.

20.3 Satu (1) salinan Peraturan-Peraturan tersebut hendaklah dihantarkan kepada tiap-tiap ahli melalui pos biasa.

FASAL 21: PEMBUBARAN

21.1 Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela – dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

21.2 Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut Perlembagaan hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

21.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *