Berita Oktober 2010

UTUSAN ONLINE ARKIB : 13/10/2010

Pak Ngah, Suhaimi dianugerah ijazah kehormat sarjana UPSI

TANJUNG MALIM 12 Okt. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganugerahkan ijazah kehormat kepada bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim sempena konvokesyen universiti itu yang akan bermula esok.

Dua lagi yang menerima ijazah kehormat ialah penulis lagu, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan penyair Suhaimi Muhammad.

Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berkenan menganugerahkan ijazah kehormat tersebut pada Majlis Istiadat Konvokesyen Sidang Kedua di Dewan SITC di universiti itu.

Muhammad Ali dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Keusahawanan manakala Pak Ngah (Ijazah Kehormat Sarjana Muzik) dan Suhaimi dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Kesusasteraan Melayu.

Selain itu, UPSI turut menganugerahkan Profesor Emeritus kepada bekas Timbalan Naib Canselor (Akademik) universiti tersebut, Profesor Datuk Dr. Abu Bakar Nordin.

Bahagian Perhubungan Korporat dan Antarabangsa UPSI dalam kenyataan akhbar hari ini memberitahu, penganugerahan ijazah kehormat kepada Muhammad Ali adalah kerana kegigihan, visi dan ciri-ciri keusahawanan mantap sehingga memacu Johor Corporation ke tahap cemerlang.

Menurutnya, Pak Ngah pula diberi anugerah itu kerana pembabitannya dalam dunia muzik terutama muzik dalam genre irama Malaysia.

Dalam pada itu, Suhaimi dianugerah ijazah berkenaan kerana terkenal dengan karya-karya yang bersifat sufisme dan aliran surealisme.

Suhaimi yang dianugerah S.E.A Write Awards 1995 di Bangkok oleh kerajaan Thailand telah menerbitkan lebih 25 kumpulan puisi perseorangan, tiga kumpulan cerpen perseorangan dan sebuah kumpulan esei/kritikan kesusasteraan.

Kenyataan itu menyebut, Abu Bakar dianugerahkan Profesor Emeritus kerana pengalaman beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum dipinjamkan ke UPSI sejak 1997.

Katanya, hasil penyelidikan beliau banyak dirakam dalam jurnal, buku, laporan penyelidikan dan prosiding persidangan.

Anak kelahiran Taiping itu kini sedang menghasilkan sebuah novel.

Sementara itu, kenyataan tersebut memberitahu, 5,207 pelajar UPSI akan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut.

Daripada jumlah itu, lima orang akan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 130 ijazah sarjana, 2,654 menerima ijazah sarjana muda dan 2,418 orang akan menerima diploma pendidikan lepasan ijazah pelbagai bidang.

Beliau berkata, Anugerah Pelajaran Diraja dianugerahkan kepada Siti Habibah Juddin manakala Pingat Emas Canselor, Abu Hanifah Haris dan Hadiah Buku O.T Dusseck (See Yuin Lee).

Sementara itu, seorang graduan orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan dari Pulau Pinang, Yeoh Kok Soon akan menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi) dengan Kepujian Kelas Pertama.

This entry was posted in BERITA. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *