Hj Adnan Abdul Latif

AROBA amat bertuah kerana masih terdapat bekas pelajar batch pertama Sekolah Ampang yang turut sama menjadi ahli AROBA baru-baru ini. Beliau ialah Tuan Hj Adnan Abdul Latif.

Pada tahun lalu, Tuan Hj Adnan telah terbaca pengumuman mengenai Majlis Hari Raya AROBA2010  di dalam akhbar tempatan, lantas beliau membuat keputusan untuk hadir bersama isteri dan seorang cucunya di sekolah yang pernah beliau tinggalkan 46 tahun yang lalu. Beliau merasa amat berbangga dan bertuah dapat kembali ke sekolah ini dan begitu gembira bertemu dengan bekas-bekas pelajar yang lain di majlis berkenaan. Dalam wawancara bersama Hj Adnan di rumahnya di Ulu Yam Baru pada 11 Jan 2011, beliau menceritakan sejarah penubuhan Sekolah Ampang.

Sekolah ini telah bermula dengan sesi petang pada tahun 1962 dengan menumpang di Sekolah Jalan Shaw Kuala Lumpur. Pada tahun 1963, Sekolah Ampang menumpang pula di Sekolah Jalan Cochrane Kg. Pandan. Akhirnya pada tahun 1964 sekolah ini mula beroperasi sepenuhnya di Jalan Ampang, iaitu tapak sekolah yang ada ketika ini. Hj Adnan mengikuti Kelas Tingkatan 2 di ARBS pada tahun 1964 dan tamat pengajian di Tingkatan 3 pada tahun 1965 dengan kelulusan LCE. Antara rakan lama ialah Salehuddin B. Shamsuddin dan Sumairi B. Taib (atau dikenali sebagai Wak)

Menurutnya lagi, beliau pernah berguru dengan Cikgu Bainun ketika itu, (kini Tuanku Bainun,  Raja Permaisuri Perak)   yang pernah mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris di ARBS sejak 1964 lagi. Menurut Tuan Haji Adnan, pada tahun 1964, terdapat 6 kelas Tingatan 2 dan setiap satu kelas terdiri daripada sekitar 40 orang pelajar.

Tuan Haji Adnan kini telah bersara. Mempunyai 4 orang anak dan 9 orang cucu. Hobi beliau sejak zaman mudanya ialah fotografi. Beliau masih menyimpan kamera-kamera lama yang dijaga dengan baik dan masih berfungsi lagi.

Hj Adnan bersetuju memberikan no HP beliau: 019-367-6387 untuk dihubungi oleh rakan-rakan lama.

(DSH)

This entry was posted in KENANGAN MANIS, PERSONALITI AROBA. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *