Tahniah kepada Dato’ Seri Abu Kassim di atas Anugerah Tan Sri dari Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

thumbnail_20130601130435Sempena dengan Hari Keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada 2 Jun (Ahad) 2013, Dato’ Seri Abu Kassim telah menerima anugerah gelaran Tan Sri dari DYMM Yang Di-Pertuan Agong

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai oleh seorang Ketua Pesuruhjaya yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong mengikut Seksyen 5 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) atas nasihat Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia. Dalam melaksanakan fungsinya sebagai seorang Ketua Pesuruhjaya beliau dibantu oleh tiga orang Timbalan Ketua Pesuruhjaya bagi aktiviti Operasi, Pengurusan & Profesionalisme dan Pencegahan. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed adalah merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang ini. Beliau tamat pengajian persekolahan di Ampang Road Boys’ School Kuala Lumpur pada tahun 1976 sebelum mengikuti pengajian ijazah Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang mulai bulan September 1984 dengan memulakan kariernya sebagai seorang Pegawai Penyiasat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia dan pada tahun 1989 beliau meneruskan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Criminal Justice di Michigan State University, Amerika Syarikat.

Selepas itu, karier beliau berkembang sehinggalah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan dan Ko-ordinasi Dasar pada tahun 1999, diikuti pelantikan sebagai Pengarah BPR Negeri Perak pada 2000 dan seterusnya Pengarah SPRM Pulau Pinang pada tahun 2003. Pada tahun 2005, beliau dilantik sebagai Pengarah Akademi Latihan Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang ketika itu baru ditubuhkan. Beliau berkhidmat di MACA sehingga bulan Mac tahun 2005 dan selepas itu berkhidmat pula di Amanah Raya Malaysia sebagai Chief Integrity Officer. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (1) SPRM sebelum dilantik ke jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Januari 2010. Selain pencapaian yang membanggakan dalam perkembangan karier beliau, Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed turut menonjol pelbagai aktiviti dan rangkaian hubungan dalam bidang pencegahan rasuah dalam dan luar negara.

Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed adalah ahli dalam INTERPOL Group of Experts on Corruption (IGEC) sejak 1997. Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan Kod Etika bagi Code of Ethics for Law enforcement ~ a Best Practices Guide for INTERPOL Members dan Global Standard to Combat Corruption in Police Services. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed juga telah membentangkan banyak kertas kerja berkaitan pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa, antaranya “The Fight Against Corruption: A Collaborative Approach Between MACC and MACA in Combating Corruption” pada 78th INTERPOL General Assembly Session di Singapura pada tahun 2009. Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) dan Ahli Lembaga Penasihat Akademik bagi International Anti Corruption Academy di Vienna, Austria.

Pada tahun 2010, Ethisphere Institute telah menamakan Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed sebagai individu keempat daripada 100 orang paling berpengaruh dalam etika perniagaan. Penilaian tersebut dibuat berdasarkan peranan menonjol beliau dalam inisiatif pencegahan rasuah khususnya dalam tadbir urus Kerajaan dan penguatkuasaan. Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed ketika ini adalah Pensyarah Sambilan di Fakulti Pendidikan dan Sosial Sains, Universiti Industry Selangor (UNISEL) dan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Selain itu, beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah bagi Institut Integriti Malaysia (IIM) serta ahli Panel Penasihat bagi Akademi Latihan Suruhanjaya Syarikat Malaysia( SSM).

This entry was posted in BERITA. Bookmark the permalink.

One Response to Tahniah kepada Dato’ Seri Abu Kassim di atas Anugerah Tan Sri dari Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong

  1. jamaludin nasir says:

    Semua AJK teruskan pejuangan persatuan AROBA kita, Syabas!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *