Tahniah! Tan Sri Abu Kassim terima darjah kebesaran Brunei

abu-kassimKUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (DPMB) yang dikurniakan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena ulang tahun baginda.

Abu Kassim menerima anugerah itu yang membawa gelaran Datuk Paduka di di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini, menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan di sini.

Abu Kassim dalam kenyataan itu menyifatkan pengurniaan darjah tersebut sebagai satu penghargaan amat tinggi kepada dirinya, SPRM, rakyat dan kerajaan Malaysia keseluruhannya.

“Saya yakin pengurniaan DPMB ini akan mengeratkan hubungan dan kerjasama sedia terjalin antara SPRM dan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam sejak hampir sedekad lalu, dan juga hubungan kedua-dua Malaysia dan Brunei Darussalam,” katanya.

Abu Kassim berkata, kerjasama antara kedua-dua badan itu sejak sembilan tahun lalu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membincangkan perkongsian kaedah penyiasatan dan transformasi positif ke arah memantapkan keupayaan agensi-agensi pencegahan rasuah, terutama yang melibatkan jenayah merentas sempadan.

“Kerjasama SPRM dan BMR juga mendapat perhatian dalam laporan penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang dilapor sebagai antara amalan-amalan baik dipraktikkan SPRM dalam penguatkuasaan undang-undang memerangi rasuah,” katanya. – Bernama

http://news.abnxcess.com/bm/2013/09/tan-sri-abu-kassim-terima-darjah-kebesaran-brunei/

This entry was posted in BERITA. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *