Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah, bekas pelajar Ampang 1973

SONY DSCY.Bhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah
Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah dilahirkan di Sg. Besi, Kuala Lumpur pada 18 Julai 1957 bersamaan 20 Z ulhijjah 1376H (Khamis).  Bapanya Kadir Shah bin Syed Maidin dan ibunya Julaiha bte Mohd Ibrahim. Beliau anak yang keenam daripada sembilan beradik. Mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajjah Roznida bte Ali Omar pada 16 September 1984 bersamaan 20 Zulhijjah 1404H (Ahad).

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pasar Road, Jalan Pudu (darjah 1 – 2).  Kemudian Sekolah Rendah Kebangsaan Ulu Klang (darjah 3 – 6).  Melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Lelaki Ampang (Ampang Boy School), Kuala Lumpur sehingga tingkatan tiga.  Dalam usia tersebut beliau lebih cenderung dalam bidang perniagaan bermula secara kecil-kecilan sehingga berjaya bergelar Tokoh Usahawan. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Wisma Yakin, Kuala Lumpur (PPWY).

Dari kecil lagi beliau amat meminati seni silat.  Beliau pernah mempelajari Silat Gayung Malaysia ketika berusia 13 tahun.  Pada tahun 1974 semasa usia 17 tahun beliau belajar Seni Silat Cekak Malaysia dengan al-marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama dan Presiden PSSCM di Jalan Haji Sirat, Kg. Baru, Kuala Lumpur.  Datuk Haji Maideen telah berguru secara peribadi dalam bidang keagamaan dan persilatan dengan Ustaz Hanafi selama 10 tahun.  Kemudian berterusan dengan YM Tuan Haji Ishak bin Itam.

Semasa remaja, beliau berguru dengan Tuan Syed Harun secara formal dalam bidang al-Quran.  Pada tahun 1997 semasa usia 40 tahun, beliau telah mendalami ilmu al-Quran dengan Tuan Syed Mustaffa bin Syed Othman, Imam Masjid Damai Datuk Keramat selama 2 tahun sehingga khatam.

Pada tahun 1975 beliau telah mengambil Ujian Sijil Rendah Silat Cekak dan Ujian Sijil Menengah pada tahun 1980. Al-marhum Ustaz Hanafi telah melantik beliau sebagai Jurulatih pada tahun 1977. Ahli LPT dan AJK Pusat PSSCM pada tahun 1981.
Beliau juga pernah mewakili PSSCM dalam Kejohanan Silat Olahraga Kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 1984 dan mewakili negara dalam Kejohanan Silat Olahraga Sedunia pada tahun 1981 di Singapura serta 1982 di Jakarta Indonesia.

Atas pengalaman beliau selama 19 tahun dalam PSSCM, beliau dilantik sebagai Naib Presiden PSSCM oleh YM Tuan Haji Ishak bin Itam pada tahun 1993.  Semasa “Krisis 1993 dan 1994”, beliau telah bersama-sama berjuang mempertahankan PSSCM sehingga berjaya. Selaku orang kepercayaan Presiden dan Guru Utama, beliau seringkali diberi mandat mewakili Guru Utama dan Presiden dalam urusan yang melibatkan PSSCM, agensi kerajaan dan swasta. Ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin, terbukti selama 35 tahun semasa khidmatnya dalam PSSCM.

YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah menyerahkan Jawatan Guru Utama dan Presiden kepada Datuk Haji Maideen pada hari Rabu, 03 Jun 2009 bersamaan 09 Jamadil-Akhir 1430H di kediamannya dan secara beradat pada hari Khamis 23 Jun 2009 bersamaan 29 Jamadil-Akhir 1430H jam 1.00 pagi. Penyerahan ini telah di terima oleh semua pentadbir PSSCM dan Ketua Cawangan Negeri.  Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di Pusat Latihan Kuang pada hari Rabu 22 Julai 2009 bersamaan 29 Rejab 1430H seramai 116 orang.

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah telah diisytiharkan sebagai Guru Utama PSSCM dan Pemangku Presiden PSSCM pada hari Sabtu 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430H semasa Mesyuarat Agung Perwakilan Luar Biasa PSSCM yang berlangsung di Hotel DePalma, Ampang.

Atas jasa-jasa beliau dalam sumbangan kepada masyarakat, DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung telah berkenan mengurniakan Pingat “Darjah Panglima Mahkota Wilayah” membawa gelaran DATUK pada 02 Februari 2009 bersamaan 06 Safar 1430H.  Beliau juga merupakan Ahli Dewan Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) mulai 29 Disember 2009.

http://www.silatcekak.org.my/index.php/perguruan/penyambung-amanah.html

This entry was posted in PERSONALITI AROBA. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *