Hj Salehuddin B. Hj Shamsuddin, bekas pelajar Ampang 1962

20140226_222453

Tuan Hj Salehuddin B. Hj Shamsuddin adalah salah seorang bekas pelajar kumpulan pertama ARBS, bermula 1962.

Pihak AROBA merasa amat bertuah dapat bertemu dengan Tuan Hj Salehuddin kerana beliau masih menyimpan majalah sekolah ARBS yang pertama 1964 serta majalah sekolah 1965, 1966, dan 1967. Dalam lawatan pihak AROBA ke rumah beliau di Taman Tun Dr Ismail pada 26 Feb 2014, kita mendapati kesemua majalah koleksi masih dalam keadaan sempurna dan tidak rosak. Amat mengkagumkan. Beliau begitu cermat menjaga majalah berharga ini termasuklah beberapa keping foto hitam putih yang dirakamkan di sekolah. Pada bahagian belakang setiap sekeping gambar diletakkan label maklumat mengenai tajuk, masa, dan lokasi foto itu dirakam. Maklumat ini amat penting dan mempunyai nilai sejarah dan rujukan untuk mereka yang tahu menghargainya.

20140227_203418

Tuan Hj Salehuddin di lahirkan pada bulan Mac 1949.  Anak kepada seorang kakitangan kerajaan yang  berasal dari Perak dan kemudian berpindah ke Kuala Lumpur, beliau memulakan alam persekolahan rendah di Sekolah Melayu Perempuan Setapak KL (1956-1957), iaitu sesi petang yang menempatkan pelajar lelaki dan perempuan. Setelah itu beliau menyambung persekolahan di Sekolah Ren. Keb. Jalan Raja Muda, KL (1958-1960) dan Sekolah Keb. Gombak Lane, KL (1961).

Setelah tamat persekolahan rendah dalam aliran Melayu, beliau ikuti Remove Class di ARBS (beraliran Inggeris) yang menumpang  di Cochrane Road Secondary School 1962 dan seterusnya pada tahun 1963 barulah beliau berpindah ke Ampang Road Boys’ School hingga 1967.

Beliau menceritakan catatan menarik semasa belajar di sekolah ketika itu apabila beliau dikecualikan dari mengambil bahagian dalam kelas senaman (PE) yang dibimbing oleh Mr. Yip. Pada mulanya Mr Yip memarahi beliau kerana tidak mengetahui bahawa kesihatan Tuan Hj Salehuddin tidak membolehkan beliau bersenam bersama pelajar yang lain. Apabila melihat surat keterangan doktor mengenai Tuan Hj Salehuddin, barulah Mr Yip memahaminya dan membenarkan beliau duduk di tepi padang. Pada tahun yang 1963, beliau pernah menemani ibunya ke Mekah menunaikan fardhu haji, tetapi kesihatannya terjejas sehingga terpaksa berada di wad hospital sementara menunggu ibunya menyempurnakan ibadah haji. Syukur Allah bersama dengannya dan beliau selamat pulang ke tanah air bersama keluarga selepas selesai ibadah haji.

Tuan Hj Salehuddin mempunyai minat yang tinggi dalam bidang lukisan dan bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek. Semasa di ARBS beliau menyumbang lukisan mural dan lukisan-lukisan lain kepada sekolah selain daripada menjadi pelajar yang aktif di sekolah; beliau pernah memikul amanah sebagai Bendahari Kesatuan Seni Foto,  AJK Pertubuhan Bahasa Kebangsaan,  dan AJK National Language Club. Beliau juga mempunyai bakat menulis yang baik serta pernah menjadi Pemenang Pertama pertandingan menulis karangan di sekolah dan karangan beliau disiarkan dalam majalah sekolah.

Apabila tamat persekolahan di ARBS, beliau menyambung pengajian Tingkatan 6 di
Cyma College sebelum berkhidmat sebagai Trainee Executive di firma Perunding Insuran tempatan dan antarabangsa. Beliau kemudian mengkuti kursus insuran di United Kingdom. Pengalaman beliau yang luas dan mendalam dalam bidang insuran dari tahun 1974 hingga 2008 telah menjadikan beliau seorang yang berwibawa dan akhirnya dilantik sebagai Vice President, Insurance Institute  of Malaysia (1976 – 1979) dan AJK Insurance Brokers Association of  Malaysia 1975 – 1990.

Berumahtangga dengan seorang pensyarah di Institut Perguruan di Kuala Lumpur, Tuan Haji Salehuddin dikurniakan tiga orang anak lelaki. Tuan Haji Salehuddin dan isteri mempunyai minat yang tinggi dalam bahan sejarah. Tuan Haji mempunyai hobi mengumpul stem dan sampul surat hari pertama sejak dibangku sekolah lagi. Koleksi sampul surat pertamanya masih dalam keadaan cantik dan amat baik. Beliau menceritakan bagaimana beliau akan sentiasa bergegas ke Pejabat Pos setiap kali stem baru dikeluarkan bersama sampul surat hari pertama. Semua sampul surat hari pertama beliau  akan dipastikan dicop di pejabat pos pada hari pertama berkenaan. Inilah antara koleksi sampul surat hari pertama beliau.

sampul pertama stem

Rumah Tuan Hj Salehuddin dipenuhi dengan buku-buku,  dan termasuk dalam koleksinya, buku asal 1001 Nights yang sudah berusia lebih 70 tahun tetapi masih dalam keadaan baik dan boleh dibaca. Lebih menarik beliau masih menyimpan buku-buku arwah bapanya yang terkumpul semasa mereka sekeluarga berada di Ireland di awal tahun 50an. Malah tiket kapalterabang KLM ke Eropah pada tahun 1960an milik beliau juga masih disimpan dengan baik untuk kenang-kenangan. Selain daripada stem, sampul hari pertama, dan buku-buku, beliau juga mengumpul duit syiling dan duit nota lama Malaysia dan matawang lama dari luar negara.

Pihak AROBA merakamkan setinggi perhargaan kepada Tuan Hj Salehuddin yang bermurah hati meminjamkan majalah Pathfinder (1964-1967) dan koleksi foto lama yang berkaitan dengan sekolah untuk dimuatkan dalam blog AROBA. Kami akan memuatkan sebahagian besar foto-foto lama dari majalah berkenaan ke dalam blog AROBA. Sumbangan Tuan Hj Salehuddin kepada AROBA akan sentiasa dikenang dan semoga sumbangan Tuan Haji diberkati oleh Allah SWT.

This entry was posted in PERSONALITI AROBA. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *